0

Dua Aplikasi Kurangkan Bebanan Guru

PUTRAJAYA – Mulai tahun ini, guru kelas dan guru akademik biasa hanya perlu menguruskan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS-Offline) bagi mengurangkan beban tugas mereka, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beban Guru Berkurangan
Beliau berkata, aplikasi yang melibatkan operasi sekolah seperti Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pendaftaran Dalam Talian akan dilaksanakan oleh guru-guru yang dilantik sahaja seperti guru data dan setiausaha peperiksaan.
“Kita mahu masalah tugas dan tanggungjawab berat yang digalas oleh guru diselesaikan segera kerana guru perlu memberi lebih tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran,” katanya semasa menyampaikan perutusan tahun baharu 2017 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Bagi meningkatkan kompetensi dan potensi guru, Mahdzir berkata Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan telah dibangunkan sebagai panduan dan motivasi kepada mereka.
“Besarlah harapan kementerian agar guru-guru dapat memanfaatkan pelan ini bagi meningkatkan kompetensi masing-masing,” katanya.
Mengenai PBS, Mahdzir berkata bermula tahun ini, keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dicetak dalam helaian yang sama dengan tiga komponen lain yang dinilai iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Katanya, sebelum ini keputusan PT3 dan komponen lain dicetak dalam helaian berlainan, menyebabkan masyarakat terlalu fokus kepada keputusan akademik tanpa mengambil kira nilai lain yang membentuk pelajar yang holistik.
“Ada yang datang jumpa saya kata anak dia dapat 9A PT3, apabila saya tanya keputusan pentaksiran lain, dia kata dia bawa keputusan itu sahaja. Ini kerana, tiada lagi pemahaman untuk mengaitkan PT3 dengan komponen lain.
“Jika ini tidak dilakukan, kita akan kembali seperti dahulu di mana tafsirannya berdasarkan akademik dan sampai bila-bila pun kita akan berorientasikan peperiksaan,” jelasnya.
Mengenai bantuan persekolahan untuk pelajar tahun ini, beliau berkata  kementerian menyediakan 19 bantuan dengan nilai peruntukan RM3.059 bilion, berbanding RM2.064 bilion pada tahun lepas.
Mahdzir berkata bantuan itu termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu 1Malaysia, Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK), biasiswa sukan, bantuan seragam beruniform, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup, beliau berkata hanya 11 daripada 27 IPG akan diubah kepada institut pendidikan lain secara berperingkat bagi memaksimumkan penggunaan insfrastruktur yang tidak digunakan.
Katanya, terdapat IPG mempunyai jumlah pelajar yang rendah menyebabkan sebahagian daripada bangunan di dalam kampus tidak digunakan dan kosong.
“Pengajian IPG yang sedang berlangsung akan diteruskan, kalau ada pelajar tahun pertama kita akan habiskan sehingga empat tahun, kemudian barulah kita ubah kepada aktiviti pendidikan lain,” jelasnya. – Bernama
0

Kementerian Pendidikan distruktur semula beri lebih autoriti kepada JPN, PPD

Kementerian Pendidikan distruktur semula beri lebih autoriti kepada JPN, PPD

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan distruktur semula bagi memberi lebih autoriti kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam membuat keputusan, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan cadangan itu pada 14 Dis lepas dan struktur pada peringkat bahagian kementerian, JPN dan PPD akan dimuktamadkan dalam masa terdekat setelah urusan waran perjawatan selesai.

Katanya kementerian akan mengeluarkan senarai perkara yang akan diputuskan di peringkat kementerian, JPN dan PPD bagi mengurangkan masalah birokrasi terutamanya dalam aspek pentadbiran.

“Sekarang sekolah terbakar pun menteri yang perlu jawab, tulis dari sekolah ke PPD, dari PPD ke JPN, seterusnya ke kementerian dan kementerian akan bermesyuarat, barulah boleh buat keputusan.

“Selepas ini tidak perlu lagi. Jika sekolah terbakar, JPN putuskan peruntukan yang diperlukan untuk kerja membaik pulih dan kementerian akan beri peruntukan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baharu 2017 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Mahdzir berkata inisiatif itu bertujuan mengagihkan perjawatan daripada kementerian kepada JPN dan PPD serta membangun dan memperkasa daya kepimpinan bagi 150 hingga 200 jawatan kepimpinan utama di kementerian.

“Namun bagi sesetengah perkara, contohnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya, itu adalah di bawah kementerian melalui Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Mengenai 1BestariNet fasa dua, beliau berkata 8,185 sekolah lagi akan dinaik taraf dengan rangkaian 4G menjelang Jun depan, setelah 6,000 sekolah telah selesai dinaik taraf dalam fasa satu.

“Dalam fasa dua, kementerian memberi keutamaan kepada pembelajaran murid dengan memastikan setiap makmal komputer disediakan capaian 4Mbps (megabit per saat) bagi menampung keperluan 40 murid menggunakan Virtual Learning Environment secara serentak,” katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata Pelan Data Individu 2GB yang berteknologi 4G telah diagihkan kepada 317,000 guru di beberapa buah negeri pada Disember lepas.

— BERNAMA